Jumaat, 30 September 2011

**Pagi..**

Hari itu selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur (kat Meru, Klang sebenarnya). Menyusur dari Cemeron Highland melalui Pekan Tapah ke Bidor melalui Teluk Intan (dulu Telok Anson) dek kerana memikirkan highway PLUS sibuk saya menyusuri jalan lama (“Teluk Intan?” ~ sebenarnya mengingatkan saya pada seseorang ???)

Sampai di Pekan Teuk Intan dan dek kerana mengantuk, teringat saya Mee Rebus “Mastan Ghani” (lau tak silap the famous mee rebus kat Teluk Intan) saya singgah sebentar di sebuah restoran pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan umur 11 tahun menghampiri saya.

“Abang nak beli kuih?” katanya sambil tersenyum, tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya.

“Tak apalah dik… abang dah pesan makanan,” jawap saya ringkas.

Dia berlalu, sebaik pesanan saya tiba, saya terus menikmati mee rebus kegemaran saya dan ketika itu jugalah nostalgia kenangan waktu masih menuntut di SMK Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, di tingkatan satu, disinilah tempat melepak saya bersama rakan-rakan bila hujung minggu waktu dapat keluar asrama.

Lebih kurang 20 minit kemudian saya Nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu sahaja.

“Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?” katanya selamba semasa menghampiri meja saya semula. “Abang baru lepas makan dik, masih kenyang lagi ni”, kata saya sambil menepuk-nepuk perut. Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima restoran. Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, “tak nak beli kuih saya bang, pakcik, kakak atau makcik?”.

Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premis restorannya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum, sebak dan kasihan di hati saya melihat betapa gigihnya dia berusaha. Tidak langsung menampakkan tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat telah berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu kereta, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta, dia menghadiahkan sebuah senyuman, saya turunkan cermin, membalas senyumannya.

“Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang” katanya petah sekali sambil tersenyum, sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kasihan di hati. Lantas saya buka dompet dan menghulurkan sekeping note merah RM10-00. Saya hulur kepadanya.

“Ambil ni dik! Abang sedekah, tak payah abang beli kuih tu”, saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih dan terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10-00 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil budak itu. “Kenapa bang, nak beli kuih ke? Tanyanya. “Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!” kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

“Bang saya tak boleh ambil duit tu, mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak, kita mesti bekerja mencari nafkah, kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang tak berupaya, saya masih kuat bang!” katanya begitu lancar.

Saya sebak, hingga menitiskan air mata, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu, tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa harga semua kuih dalam bakul itu. “Abang nak beli semua sekali ke? Dia bertanya dan saya cuma mengangguk, lidah saya kelu nak berkata malah air mata saya terus berjuraian tanpa diduga.

“RM25-00 sahaja bang” selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam beg plastic, saya hulurkan RM25-00. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu. Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan, baru saya terfikir untuk bertanya statusnyanya. Anak yatimkah? Siapa wanita berhati mulia yang melahirkannya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.


renung-renungkan...

daa...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan