Sticky Mode.. Kat bawah ada entry baru...
12:16:00 PTG
Aku pun rasa nak coretkan jugak la kisahku mengandungkan MUHAMMAD ADAM DANISH BIN MOHD AFENDI hampir 3 tahun lalu...
Bermula kisah kehidupan berumahtangga, aku dan suami tercinta, Mohd Afendi Bin Yasin pada 1.11.2002, seminggu sebelum bermulanya bulan Ramadhan Al-Mubarak. Perkongsian hidup kami sememangnya amat direstui oleh kedua-dua keluarga. Aku pada masa itu baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia. Namun, kerana cinta yang mendalam, kami tidak sanggup hidup berjauhan lagi dan lafaz Aqad dan Nikah memeterai perhubungan kami.
Mungkin menjadi impian semua pasangan yang bergelar suami iseri untuk memiliki cahayamata yang akan mengeratkan lagi perhubungan kasih sayang. Namun, rezeki yang dijanjikan oleh Allah masih jauh lagi untuk kami kecapi. Aku dan suami juga hanya berserah kepada yang Maha Esa untuk mengurniakan cahaya tersebut ke dalam kehidupan kami. Tiaga tahun aku memendam rasa untuk memiliki anak. Namun, kerana kewangan yang tidak mengizinkan, kami tangguhkan rasa untuk menjalankan apa sahaja rawatan yang mungkin boleh dilaksanakan untuk kami memperolehi cahayamata.
Aku sendiri telah melakukan pelbagai cara untuk memperolehi maklumat dan berita yang boleh diaplikasikan kepada diriku untuk mempercepatkan proses kehamilan. Aku sering melayari internet dan berkongsi rasa dengan wanita-wanita dan isteri senasib melalui forum dan laman sembang. Forum yang aku paling suka ialah Wanitamelayu.com . Pelbagai info dan pengalaman yang dapat aku terokai sehinggalah aku terpanggil untuk melakukan rawatan di sebuah pusat rawatan iaitu Pusat Rawatan Damansara Damai bersama Dr. Kamal Bahrin. Setelah melaksanakan vaginal csan, aku disahkan mengidap cyst. Doktor mengesyorkan aku untuk menguruskan badan bagi mengurangkan hormon yang mengganggu proses kehamilanku. Dengan tekad dan nekad untuk hamil, aku telah berjaya mengurangkan hampir 8 kg berat badanku dalam masa sebulan. Dengan izin Allah, aku telah berjaya hamil dalam bulan itu juga. Syukur Al-hamdulillah kepada Allah.
Aku amat bersyukur kerana sepanjang kehamilanku, aku tidak pernah merasai morning sickness seperti yang dialami oleh rakan sepejabatku. Aku tidak ada masalah untuk makan apa sahaja, dan melakukan apa sahaja. Sehinggalah pada kandunganku mencapai 6 bulan, aku disahkan menghidap darah tinggi (HBP). Tersentak juga aku pada masa itu kerana sebelum ini aku tidak pernah terfikir akan menhadapi masalah seperti itu. Namun, aku terpaksa mengawal pemakanan dan aku telah dibekalkan ubat untuk mengawal tekanan darah. Sebaik mencecah 2 minggu sebelum bersalin, doktor di HKL telah memberi surat untuk aku bersalin awal kerana tidak mahu mengambil risiko dengan masalah HBP yang aku alami. Setelah berbincang dengan suami, kami mengambil keputusan untuk melahirkan anak di kampung. Aku ke pejabat mengisi borang cuti dan meminta kebenaran boss untuk bercuti awal. Sememangnya boss aku amat memahami dan kami bertolak balik ke kampung keesokan harinya.
Aku dimasukkan ke wad di HUSM pada tarikh yang ditetapkan oleh doktor untuk aku bersalin awal. Keesokan harinya, bukaan jalan untuk bersalin telah mencecah 4 cm. Aku telah dimasukkan ke labour room. Hampir 10 jam aku mengharungi kesakitan, namun, bukaan hanya 6 cm sahaja. Oleh kerana kontraksi bayi semakin lemah, aku menandatangani surat kebenaran untuk melakukan pembedahan ceaserean. Anak lelaki kami lahir setengah jam selepas proses pembedahan yang berjalan lancar. Kami dipisahkan sementara waktu kerana aku masih lemah pada ketika itu.
Suami membawa bayi kami untuk disusukan setelah aku telah boleh duduk. Oleh kerana aku tiada pengalaman menyusukan bayi, jururawat di wad telah mengajar aku cara-cara menyusu. Alhamdulillah, susu pertama telah dapat diberi kepada bayi kami. Namun, seperti bayi-bayi lain, anak kami mengidap jaundis dan dimasukkan ke wad untuk pemantauan.
Empat hari kemudian, kami dibawa pulang ke rumah. Aku bersyukur dengan kurniaan Allah. Setelah 4 tahun menunggu dan pelbagai cabaran dihadapi, akhirnya bayi kami telah lahir ke dunia ini. Kini anak kami telah mencecah hampir 3 tahun. Keletahnya telah membawa kebahagiaan yang tidak ternilai di dalam kehidupan kami.
MUHAMMAD ADAM DANISH DILAHIRKAN PADA 19 DISEMBER 2006
1 007 comments